Pre-natal : Rahimi Rahman Isham

Alhamdulillah, 2014 memang penuh dengan kejutan. Recap, Januari lepas, saya mendapat tahu saya mengandung anak yang ke-4. Rezeki luar jangka. Namun, kami gembira. Berita ini kami tahu, sehari sebelum suami terbang kembali ke Pakistan. Trimester pertama saya lalui seorang diri, tanpa suami disisi.

Hari ini. kandungan sudah masuk 32 minggu. Lebih kurang dua bulan sahaja lagi. Jika, keluarnya awal sama seperti Isaac dan Bella pada 37 minggu, maka 5 minggu sahaja penantian akan berakhir.

Scan demi scan dari awal kandungan mendapati jantina bayi dalam kandungan kali ini ialah lelaki. Sahabat Isaac. Sama seperti Bella, bukan mudah untuk mencari namanya. Banyak nama telah dicadangankan namun tidak sesuai dan berkenan samada di hati saya atau Iss. Dan akhirnya finale, kami bersetuju untuk nama Rahimi Rahman. Andai selamat kelahiran ini, itulah namanya. Andai ditakdirkan beliau anak ahli syurga, maka itu juga namanya di akhirat kelak.

Rahimi anakanda yang istimewa. Kelahirannya bakal mengambil tempat di Tawau, Sabah. Bunda gentar, tapi mencari keberanian dalam diri untuk menempuh ujian ini. Tidak seperti kakak dan abang yang lain, kelahiran mereka melalui bantuan seorang doctor pakar yang sama, Rahimi akan disambut oleh doctor yang berbeza.

Alahan kali ini? Semput dan kesukaran bernafas. Enzcema dari awal kandungan. Kekurangan tenaga untuk terlalu aktif. Mungkin kerana ada anak-anak lain yang sedang aktif membesar, bunda keletihan menjaga hal-hal rumah serta kandungan yang kian membesar setiap hari.

 

Persiapan setakat ini sederhana sahaja. Rezeki Rahimi, ada sahabat-sahabat di internet yang pos baju anak-anak mereka yang terpakai namun masih elok untuk digunakan. Alhamdulillah. Kami doakan rezeki mereka terus dimakmurkan Illahi.

Ini juga kandungan pertama yang melalui bulan Ramadhan. Selalunya untuk yang lain, lepas bersalin baru berjumpa dengan Ramadhan. Alhamdulillah, Ramadhan kali ini dapat diakhiri dengan puas hati.

 
Entah mengapa, sejak awal kandungan, Bunda percaya kandungan kali ini datang penuh dengan hikmah. Hikmah yang akan membuka lembaran baru untuk kami sekeluarga.
 
Antara hikmah yang telah dilalui, perpindahan ke Tawau tanpa dirancang. Kesempatan untuk Bunda terbang ke Tanah Arab Bersatu, Dubai dan Abu Dhabi, benar-benar diluar impian yang pernah dibina. Dapat sujud di Masjid Az-Zayed, adalah satu kenangan yang luar biasa. Bunda berdoa agar suatu hari nanti, kita sekeluarga dapat beriktikaf di masjid itu sekali lagi. Mudah-mudahan..
 
Syukur, syukur dan syukur...
 
 
 
Anakanda Rahimi kesayanganku.. Moga anakanda sihat di dalam sana. Kita jumpa dalam masa terdekat nanti.. Kami semua tidak sabar untuk bertemu denganmu...
 
 
 

Comments

Popular Posts