Pengalaman melahirkan, Rahimi Rahman


Ini kisah saya melahirkan anak yang ke-4 di bandar kecil Tawau. Walaupun ini anak ke-4, pengalaman melahirkan setiap cahaya mata baru tidak pernah sama. Untuk setiap ibu, dimana jua mereka berada. Lebih-lebih lagi, ini pengalaman pertama saya melahirkan di luar bandar tanpa saudara-mara terdekat yang boleh membantu.




 

 

Mengapa Tawau? Suami saya dipindahkan untuk bekerja di sini pada bulan Mei 2014. Jika mengikut kira-kira EDD, saya bakal melahirkan pada hujung bulan September 2014. Sudah tentu mak di Semenanjung mahu membantu apa yang perlu menjelang kelahiran cucu barunya nanti. Mak dan ayah sudah awal-awal menempah tiket AirAsia pada 10 September 2014 untuk terbang ke bandar Tawau. Namun, hati saya kuat berkata saya akan melahirkan lebih awal dari tarikh itu. Maklumlah, sejarah untuk anak ke-2 dan ke-3, masing-masing keluar 3 minggu awal.
 
 

 

Tanggal 1 September 2014, saya sudah mula perasan perut kadangkala mengeras. Tiada tanda-tanda sakit kuat, maka saya teruskan aktiviti harian seperti biasa. 2 September 2014, perut mengeras dengan lebih kerap. Saya melihat jam, mengambil mengira tempoh jarak kontraksi. 15 minit. Saya telefon suami mohon dia pulang awal. Kebetulan hari ini telah dijadualkan untuk 'detail scan' jam 4:00 petang di Klinik Shirley, maka saya siapkan anak-anak, masukkan beg dalam kereta sebelum ke klinik tersebut. Kami bercadang untuk terus 'check-in' hospital selepas itu kerana selang kontraksi sudah 10 hingga 8 minit sekali. Sakit tidak kuat lagi. Saya masih cergas bergerak.

 

Scan menunjukkan kepala bayi sudah mengadap ke bawah. Berada di laluan yang sepatutnya. Doktor bertugas menyiapkan laporan untuk dibawa ke hospital dan kami terus bergerak untuk mengambil anak sulung pulang awal dari persekolahan sesi petangnya. Kami tiba di hospital lebih kurang jam 5:30 petang dan dimasukkan ke dalam wad. Kontraksi sudah selang setiap 5 minit. Apabila cik misi memeriksa pembukaan servik, baru 1 cm. Saya tidak rasa sakit. Namun, kontraksi tetap berlaku. Saya diminta untuk berehat dan mereka akan buat pemantauan dari masa ke semasa untuk melihat perkembangan pada diri saya.

 

Apabila mengetahui saya telah dimasukkan ke wad, mak saya juga mengambil langkah drastik untuk menukar tiket penerbangannya lebih awal. Mak telefon dan kata beliau akan sampai ke Tawau jam 7 petang esok. Tanpa ayah. Masih ada urusan kerja yang perlu ayah uruskan, beliau akan datang pada tarikh asal tempahan. Dalam hati, saya sangat bersyukur kerana mak akan ada untuk membantu.


 

Walaupun ini anak ke-4, entah mengapa, laluan servik amat lambat untuk terbuka. Sudah saya cuba pelbagai ikhtiar, zikir tidak putus, air akar fatimah juga tersedia, sehingga jam 8 pagi, laluan baru terbuka 2cm. Allahuakbar! Ada sedikit tompokan darah di katil pagi itu, tanda ke-2 saya bakal melahirkan dalam tempoh yang terdekat. Dalam sedih ada juga berita gembira.

 

 

Oh ya, selain sakit kontraksi, malangnya untuk kelahiran ini, saya juga sakit gigi. Gigi geraham saya sudah sakit sejak trimester ke-2. Namun doktor berkeras tidak mahu mencabutnya sehingga saya selesai melahirkan. 5 hari yang lepas, gigi yang rapuh itu telah pecah dan sebahagian masih tinggal di dalam mulut. Sepanjang pagi hari Rabu yang bersejarah itu, sakit gigi lebih sakit dari menahan sakit kontraksi di perut. Denyutan sakit gigi menangkap ke kepala. Saya tidak dapat lelapkan diri. Kepala makin sakit. Saya memujuk cik misi untuk berikan saya ubat tahan sakit. Mujur doktor benarkan. Pening dan sakit gigi mula reda.

 

Doktor membuat rondaan jam 11 pagi sekali lagi. Servik baru terbuka diantara 2 ke 3 cm sahaja. Doktor berikan pil 'induce' kecil untuk ditelan. Sakit mula terasa, namun masih dapat ditahan. Oleh kerana ini hospital swasta yang kecil, tiada makanan dan pakaian hospital disediakan. Suami sempat bawakan laksa sarawak Secret Recipe untuk makan tengahari saya. Saya makan penuh selera. Masih boleh gelak ketawa dengan anak-anak. Masih mampu tidur nyenyak kerana tiada desakan kontraksi kuat dirasai. Ternyata, induce yang diberikan tidak banyak memberikan kesan.

 

 

Jam 3:30 petang, doktor datang membuat pemeriksaan sekali lagi. Doktor mengatakan pembukaan servik saya kali ini benar-benar perlahan. Baru di antara 3 ke  4 cm. Doktor pecahkan air ketuban. Jika diikutkan sejarah anak-anak yang lepas, selepas dipecahkan air ketuban, dalam 2 ke 3 jam, saya akan selamat melahirkan mereka. Tapi, ia tidak semudah itu untuk kali ini. Dugaan yang sebenar untuk kelahiran kali ini baru sahaja bermula.

 

Saya mula sakit kuat. Saya cuba bertenang, telan kesakitan itu dan bukan melawannya. Bayangkan keadaan bayi di dalam turun sedikit demi sedikit. Suami dan anak sulung bergilir-gilir mengurut pinggang dan badan saya. Saya kuatkan semangat untuk berjalan, duduk dan bukan berbaring seperti dahulu. Orang kata akan mempercepatkan proses pembukaan servik. Orang kata, saya tak kata. Saya makan madu untuk menambah tenaga. Badan mula menggigil-gigil menahan sakit yang makin kuat dan kerap. Saya lihat jam dan menanti cik misi datang membuat pemeriksaan. Pasti sudah banyak terbuka, sakit sudah makin teruk. Apabila misi datang, beliau kata masih 4 cm. Hampa!

 

Jam 6:45 petang, suami bersiap untuk mengambil mak di Airport Tawau. Saya tinggal dengan Husna, anak sulung. Beliau tidak berhenti mengurut saya. Saya sudah hampir pengsan, penat menahan sakit. Stress lagi, mengenangkan laluan servik yang tidak bekerjasama dengan badan yang sakit. Cik misi datang membuat pemeriksaan. Masa yang ditunggu-tunggu, namun kecewa. Hanya 5 cm. Badan saya sudah terlalu lemah, pandangan juga kabur. Fikiran sudah berkecamuk. Adakah saya bakal dibedah kerana air ketuban sudah keluar hampir 5 jam namun laluan tidak terbuka? Adakah anak akan lemas di dalam, kurang oksigen, termakan najis dan sebagainya? Saya benar-benar hampir pengsan.

 

Mak tiba di hospital jam 8:30 malam. Saya menyambut mak dengan tangisan kesakitan. Anak-anak gembira berjumpa dengan nenek mereka setelah sekian lama. Saya juga. Saya minta suami tolong bawakan saya ke bilik air. Saya mahu mandi. Untuk melalaikan saya tentang masa dan juga untuk membersihkan diri yang basah dengan air ketuban. Walau menggigil mandi air sejuk, saya rasa tenang seketika. Sebaik sahaja siap memakai pakaian yang bersih, tepat jam 9 malam, cik misi datang membawa kerusi roda untuk membawa saya ke bilik bersalin. Sempat mak sapukan air zamzam ke muka saya sebelum keluar dari bilik. Berkat katanya.

 

Dalam perjalanan ke bilik bersalin, entah dari mana, saya dapat satu kekuatan baru. Saya lebih segar, seperti baru bangun dari tidur. Sampai di bilik bersalin, saya tidak terus baring. Saya duduk di tepi katil, suami tolong urutkan pinggang dari belakang. Saya ikat rambut elok-elok dan baring. Keadaan saya seperti seorang peninju disisi coach yang bersedia untuk bertempur. Saya tidak mengerang atau menjerit sakit langsung. Saya telan semua kesakitan. Hanya nafas yang berbicara. Cik misi periksa pembukaan servik. Bagus 8cm. Dia kata cuba teran. Cubaan pertama meneran hanya bertemankan cik misi, mungkin dia mahu lihat samada boleh untuk pegang kepala bayi. Hembus nafas.

 

Menunggu selang kontraksi. Teran kali kedua. Doktor sedang menyiapkan diri dan cik misi sedang menyiapkan peralatan tidak menyedari kejadian itu. Saya jerit, doktor! Baby nak keluar. Tak sempat. Hembus nafas lagi. Tunggu selang kontraksi, kumpul tenaga, doktor sudah bersedia juga, suami tolong pangku badan dari belakang. Bismillahirahmanirahim, tarik nafas dan Push! Setiap saat cukup lama dan perlahan rasanya. Nafas masih ditahan. Doktor membantu membuka servik dengan berhati-hati. Kepala sudah keluar, itu yang paling susah. Fuh, lepas nafas. Tidak perlu sebarang guntingan kali ini. Syukur. Selang kontraksi, teran lagi untuk bahu pula, yang ini lebih mudah. Bayi keluar seperti air. Satu picagari dicucuk di peha. Uri pula dikeluarkan. Alhamdulillah. Lega! Putera Sabah kami, Rahimi Rahman Isham selamat dilahirkan jam 9:38 malam di Tawau Maternity Hospital.

 

Oleh kerana saya tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang pain killer kali ini, saya benar-benar sedar dengan apa yang berlaku disekeliling saya. Selalunya, selepas bersalin saya akan pengsan. Saya dapat mendengar alunan azan dan iqomah untuk anak saya. Saya kemudian, diminta untuk duduk di kerusi untuk ditolak kembali ke bilik. 9:45, saya sudah tiba di bilik. Mak juga pelik, eh.. sudah bersalinkah? Betul-betul sejam selepas mak sampai ke hospital, saya terus bersalin. Rupa-rupanya, apabila bercerita kembali, mak berhajat mahu melihat perut saya sebelum bersalin. Maklumlah, saya pindah ketika perut masih kecil. Katanya dalam hati, nanti dah sampai Tawau mesti dah bersalin, tak dapat tengok perut saya nanti. Allah makbulkan doa beliau. Semoga segala kesakitan yang saya alami menghapuskan dosa-dosa dan kifarah yang lepas.

Comments

Popular Posts