5 sen, 50 sen, RM5, RM50.




Setiap hari saya bekalkan anak saya duit untuk dimasukkan ke dalam tabung di Tadika. Ada hari saya akan beri wang kertas. Ada hari syiling sahaja sudah memadai. Saya lihat, kebanyakkan ibubapa lain memberi nota kertas, beberapa keping. Wah, besar sudah simpanan mereka sudah pasti.
 

Amalan menabung bagi saya, perlu dipupuk agar ia menjadi satu rutin semulajadi. Bukan disebabkan ibu bekalkan hari-hari duit itu. Esok lusa, jika saya sudah tiada, adakah mereka masih menabung ketika itu? Kadangkala, saya minta mereka cari syiling yang tercicir di rumah sahaja sebagai bekalan menyimpan di Tadika. Motif utama, agar mereka rajin menabung, tidak kira jumlahnya berapa.
 

Kedua, saya suka mahu mengajar anak saya tentang nilai matawang. Pada suatu hari, apabila saya memberi anak saya wang berjumlah 75sen, cikgunya tidak mahu menerima 5sen itu. Dikembalikan. Pada mata anak saya, duit itu tidak berharga atau bernilai. Saya terangkan kembali kepada beliau sekembalinya dari Tadika. Duit yang kecil itu ada signifikasinya.

 
Saya punya satu cerita. Ketika saya belajar berniaga roti bersama Tuan Roslan suatu masa dulu, beliau sangat menghargai untung sen-sen. Jika setiap roti untung 25sen, 200 roti untuk 10 sekolah memberi beliau keuntungan bersih RM500. Katakanlah, beliau hanya bekerja 20 hari sebulan, duit poket beliau bulan itu RM10'000. Itulah kuasa duit 5sen yang kebanyakkan kita buang ke tepi tadi.
 

"Berapa banyak pula aiskrim adik boleh beli dengan duit banyak tu," saya mengusik.

 
Anak saya mendengar dan menggenggam kembali duit 5 sen di tangan. Sampai di rumah dia masukkan ke dalam tabung di rumah. Budak bijak.
 

"Nasib baik adik ada banyak tabung. Sekolah ada, rumah pun ada." katanya sambil tersenyum manis.
 

Saya rasa dia sudah faham. Apa yang dimaksudkan dengan sikit-sikit, lama-lama menjadi bukit.

Comments

Popular Posts