Kereta vs. Anak Patung


 

Anak-anak membesar dengan mainan. Itu pencetus dunia imaginasi mereka. Karakter mereka terbina dengan mainan yang mereka ada ketika kecil. Mainan juga bakal melakar memori indah zaman kanak-kanak riang mereka. Saya pasti, ramai diantara kita yang masih ingat mainan kegemaran mereka sehingga hari ini.
 

Bagi saya, arnab putih bermata pelangi yang dihadiahkan oleh nenek saya suatu masa dulu. Aduh, sayang betul saya dengan arnab itu. Saya jaga sehingga lusuh. Walaupun hari ini arnab itu sudah tiada, memorinya tetap kekal segar di minda.
 

Di rumah saya hari ini, kami tidak mempunyai banyak mainan. Ada 2 biji bola. Ada 2 anak patung. Satu set permainan kereta lama suami saya dan beberapa keping mainan LEGO. Itu sahaja.

 
Anak sulung dan kedua saya adalah perempuan. Saya pula tiada adik-beradik perempuan. Saya ajar mereka bermain masak-masak dan anak patung. Main ikat dan tocangkan rambut. Belajar menjahit manik-manik. Mereka bermain dengan gembira kerana tiada yang lain telah dihidangkan. Dan, mungkin juga kerana naluri perempuan yang membuatkan mereka minat mainan seperti itu.

 

Apabila anak ketiga dilahirkan, anak lelaki, sesuatu yang lain telah berlaku. Sedari kecil, minatnya tertumpu ke arah kenderaan, bola dan mesin. Alamak, itu bukan forte saya. Suami saya membawa set mainan kereta kecilnya dari kampung untuk anak lelaki saya. Kadang kala, ada juga dibeli satu dua untuk menambah koleksi yang sedia ada. Kagum! Si anak kecil boleh mengingat, setiap kereta yang dibeli bapanya dan di mana.
 
 
"Kereta ini, papa belikan untuk Isaac di Giant. Kereta ini dapat free dalam kotak Koko Crunch."
 

Amboi. Tak perlu kismis minda, memang ternyata minda anak kecil kita kuat apabila butang minatnya telah disentuh. Sama sahaja seperti kita, apabila melakukan sesuatu yang kita gemari. Sambil tutup mata, kita boleh cerita A - Z.

 
Apabila meningkat dewasa, saya boleh lihat karakter anak yang berbeza, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kecenderungan bermain permainan yang mereka gemari. Husna, sedikit keperempuanan kerana dikelilingi oleh anak patung dan kisah puteri-puteri kayangan. Bella, mempunyai daya ketahanan fizikal yang kuat. Dari kecil, tidak takut aktiviti lasak. Isaac, bakal jurutera sudah pasti. Memandang kren bergerak pun suatu hiburan besar buat dia.

Comments

Popular Posts