Masjid dan anak kecil.

 
 


Masjid itu rumah Allah. Kalau kita yang tidak biasakan anak kita ke masjid, siapa pula akan mendidik mereka nanti. Kalau bapa tidak sembahyang jemaah, anaknya pasti tidak belajar untuk ikut sama. Makin kosonglah masjid kita setiap hari nanti. Dalam banyak hal, anak tidak anak mendengar apa yang ibubapanya suruh. Anak-anak akan meneladani apa yang ibubapanya lakukan. Termasuklah hal ke masjid ini.

 
Pada suatu ketika, saya amat risau untuk membawa anak saya ke masjid. Saya fikir, beliau pasti mengganggu saya yang mahu khusyuk solat ketika itu. Bagaimana pula jika beliau menggangu jemaah lain? Berlari malah membuat bising tidak henti-henti. Oh, banyaknya yang saya fikir. Semua yang negatif sahaja. Itulah fikiran saya yang tiada ilmu ketika itu.
 


Saya terlupa ketika itu, masjid itu penuh dengan Malaikat yang turut menjadi jemaah bersolat dan berzikir kepada Allah. Ramai yang mahu tolong tengokkan anak kita ketika kita bersolat. Saya mula membawa bayi dan tinggalkan sahaja untuk solat dengan damai di rumah Allah itu. Jarang-jarang untuk mereka menangis dengan teruk. Biasanya, ada sahaja bantuan dari Hamba Allah untuk tolong menjagakan mereka.

 
Dari masjid ini, mereka boleh mempelajari pelbagai perkara. Perihal azan dan iqomat. Belajar mengenali Al-Quran dan terjemahnya. Mendengar alunan surah-surah yang dipasang secara tidak langsung. Mempelajari cara berwudu' dengan betul. Mencarum saham akhirat di Tabung bersedekah masjid. Kesemua ini mereka belajar dengan melihat, bukan dengan membaca silibus yang diajar di dalam buku teks sekolah. Ilmu tanpa amal, tidak mampu memahat ilmu itu di dada. Praktikaliti itu yang membuatkan mereka ingat sampai bila-bila.

 
Di masjid juga, anak kecil ini belajar berkawan-kawan. Lingkungan kawan-kawan ini ternyata mereka yang lebih berumur dari mereka. Perkongsian ilmu atau bual bicara ibubapa bersama rakan-rakan mereka akan menjadi sumber ilmu pada mereka. Ini juga dapat membentuk satu jaringan modal sosial baru untuk mereka.
 

Mulakan sekali seminggu. Jadikan masjid itu tempat yang seronok buat mereka. Raikan kejayaan kecil setiap kali mereka berjaya ikut ke masjid. Lama-kelamaan, ia akan menjadi rutin. Manalah tahu, ada anak kita yang akan menjadi imam besar suatu hari nanti. Sejuk perut ibu mengandung. Siapa mahu menolak rezeki jika dikurniakan anak syurga yang begitu. Betul tak?

Comments

Popular Posts