Ada apa dengan abang Bomba?


"Bonda, nanti kita pergi Balai Bomba lagi ya?"

"Eh, kan dah pergi tadi."

"Abang bomba tu ajak datang lagi la. Dia kata nak datang balik bila-bila pun boleh."
 
Di dalam kereta bomba

Bukan satu anak kecil berkata demikian. Rata-rata yang mengikut lawatan ingat ayat bomba yang terakhir itu. "Nanti datang lagi ya!" Kuat betul memori anak kecil kita ini, jangan main-main.

 

Saya tidak tahu mengapa, tetapi ahli bomba kelihatan sangat 'cool' di mata anak kecil di serata dunia. Kalau di kidzania, lorong menunggu untuk aktiviti pekerjaan ahli bomba sentiasa penuh dan beratur panjang. Malah, anak saya yang sudah pergi ke Kidzania 4 kali pun tidak pernah berpeluang  bermain sebagai ahli bomba. Jadi, saya aturkan lawatan khas buat mereka ke balai bomba yang terdekat. Di bawah nama kumpulan Homeschooling.Tawau. Jangan terkejut, pihak bomba sangat mengalu-alukan lawatan umum.







 

Ada apa dengan bomba?

 

Mungkinkah kerana mereka segak memakai pakaian berceloreng atau kerana kerana kereta bomba itu sendiri?

 

Kalau mahu dibandingkan kereta bomba dengan kereta polis, sudah tentu kereta bomba menang. Dengan ambulans pun, kereta bomba tetap segak dijalan raya. Ditambah pula dengan pam air yang mempunyai daya pancutan horse power yang luar biasa berbanding dengan paip air di rumah sendiri. Manalah cita-cita itu tidak menjadi igauan anak-anak kecil semua.

 

Atau mungkinkah kerana dapat bermain dengan api dan air?

"Api yang kecil itu kawan, api yang besar itu lawan." Kata abang bomba. Pertunjukan live pemasangan api dan demo pemadaman amat terkesan di hati kecil mereka. Apatah lagi, apabila ibubapa mengambil tempat sukarela untuk sama memadamkan api.

 

"Wah, ibuku superhero! Boleh padamkan api." Saham ibu naik satu calit lagi.
 
 
 Itu belum melihat abang bomba melakukan kerja penyelamat seperti berlawan dengan ular sesat atau membantu mangsa bencana alam. Pasti lebih kagum mereka dengan superheros negara ini. Apa jua rahsia abang bomba, hanya kanak-kanak ini yang tahu. Kalau dapat naik kereta bomba, bukan kepalang gembira dan girang senyuman mereka. Apatah lagi, dibawa ronda satu bandar. Terasa seperti ahli bomba, walaupun seketika.
 
Untuk semua abang bomba diluar sana, kami doakan keselamatan dan kesejahteraan dalam melaksanakan tugas murnimu. Teruskan memberi inspirasi untuk anak-anak muda menjadi sukarelawan murni yang sudi menjaga keselamatan negara dimana jua anda berada.


Mak-mak yang excited sebenarnya

Comments

  1. salam perkenalan dari group HS :)
    http://akudiadangarage.blogspot.my/

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts