ROADSCHOOLING EID 2016 - TAWAU TO BRUNEI

ROADTRIP TAWAU – BRUNEI
========================

Posting yang panjang, sejauh perjalanan yang perlu dilalui. Baca, hanya anda seorang pengembara tegar. Ini adalah jadual perjalanan kenderaan yang kami lalui dari Tawau hingga ke Brunei untuk menyambut Eid 2016. Harga juga disebut mengikut harga semasa.

.

 

Perjalanan membelah awan dari Tawau ke KK



1) Tawau – Kota Kinabalu (Hari 1)

Perjalanan kereta Tawau ke Brunei, paling kurang mengambil masa 2 hari 1 malam untuk sampai ke destinasi dengan selesa. Perjalanan kereta pertama yang kami ambil dari Tawau menuju ke Kota Kinabalu, melalui Banjaran Crocker, mengambil masa hampir 8 jam perjalanan sehala.

 
Perlu diingatkan, jalan di Sabah ini bukan seperti highway di Semenanjung. Kudapan-kudapan dan persediaan mental untuk berhenti, terutama ke bilik air, perlu dirancang dengan teliti. Tiada RnR untuk kupi-kupi dan jalan sangatlah mencabar. Dicadangkan untuk anda memandu di siang hari bagi mengelakkan sebarang kesulitan berlaku.

Kami bermalam dan berehat di Kota Kinabalu sebelum memulakan perjalanan seterusnya ke Brunei.


2) Kota Kinabalu – Menumbok (Hari 2)

Menumbok adalah satu-satunya bandar yang menyediakan pelabuhan jeti kenderaan untuk melintas ke Labuan. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Menumbok mengambil masa 2 jam setengah dengan pemanduan, InsyaAllah, tak kena saman dek polis ‘road block’. Perjalanan cukup aman dan cantik dengan pemandangan sawah hijau terbentang di kiri dan kanan anda. Kami memulakan perjalanan seawal 7 pagi untuk mengejar feri yang ada pagi itu.


Pekan yang perlu dilalui untuk ke Menumbuk. Amik kanan, terus sampai Pulau 3, Survivor.


3) Menumbok – Labuan

Feri yang paling awal bergerak menghubungkan Menumbok – Labuan bermula jam 6 pagi. Banyak bot pergi dan balik di jeti ini, sampailah malam. Jadi, anda tidak perlu risau tentang tiket untuk ke Labuan. Perjalanan feri mengambil masa 1 jam setengah untuk sampai ke destinasi.



Kos yang terlibat di jeti ini :
Kereta + Pemandu – RM40
Penumpang tambahan – RM2.50 seorang (Pastikan bawa kad pengenalan dan surat beranak anak-anak untuk pengesahan di kaunter membeli tiket)

Terdapat juga kos tambahan caj mendarat di Labuan (sekali bayar sahaja)
Kereta + Pemandu - RM14
Penumpang tambahan – RM1.50 seorang

Total kos kami = RM70




4) Labuan – Brunei

Feri kenderaan dari Labuan ke Brunei hanya ada 2 trip sehari. Jam 9 pagi dan 4 petang. Kami bergerak awal kerana perlu mendapatkan feri jam 4 petang itu. Dokumen yang anda perlukan ialah passport dan geran kereta original untuk mendapatkan tiket sehala ke Brunei. Perjalanan memakan masa 2 jam. Feri mereka, super tip top. Siap ada announcement keselamatan dan bacaan doa lagi.



Kos untuk ke Brunei via feri kenderaan :
Kereta + Pemandu - RM160
Penumpang Dewasa – RM35
Penumpang Kanak-kanak – RM15
Kanak-kanak dibawah 2 tahun – percuma.


Total kos kami = RM240

Anda perlu mengisi borang masuk ke Brunei untuk setiap seorang ahli keluarga juga butiran kereta anda. Simpan slip untuk untuk urusan keluar pula. Pastikan anda ada alamat tempat menginap di Brunei kerana ia perlu diisi dan diserahkan kepada pegawai imigrasi bertugas sebelum mendapat cop masuk ke dalam negara mereka.

Alhamdulillah, kami selamat sampai ke Brunei jam 6 pm sehari sebelum hari Raya!

Menariknya di Brunei, pengumuman raya amat dinantikan di kaca tv atau ruang radio. Debaran dan kegirangan menunggu pengumuman seperti zaman kecik-kecik dahulu. Kami sudah bersedia untuk berpuasa tambahan satu hari, memandangkan tahun ini Brunei puasa lambat sehari. Tapi, rezeki, malam ini anak bulan cerah dari muka bumi, anak-anak pun apa lagi, bersorak gembira baru sampai oversea dan nak sambut raya sekali!


.


PERJALANAN PULANG

5) Brunei – Labuan



Untuk perjalanan pulang, feri hanya ada 2 trip perjalanan sehari juga. Jam 9.30 pagi dan 12.30 tengahari. Pastikan anda berada di jeti satu jam awal untuk urusan pembelian tiket dan imigrasi. Oleh kerana kami pulang hari Jumaat, kaunter tiket ditutup jam 12 tengahari. Kalau lambat, menangislah tak boleh balik lagi satu hari.

Harga tiket dari Brunei perlu di bayar dalam Brunei Dollar. (3x ganda duit Malaysia)

Harga kereta kormersil + Pemandu - BND50
Penumpang dewasa – BND12
Penumpang kanak-kanak – BND6
Kanak-kanak bawah 2 tahun – BND2
Jumlah penuh yang kami perlu bayar – BND82

Kami bermalam di Labuan untuk satu malam sebelum memulakan perjalanan pulang yang jauh ke Tawau. Sempatlah nak borong coklat murah dan makan seafood kat Labuan malam tu.


6) Labuan – Tawau




Tiket feri di ambil seawal jam 7:30 pagi untuk bertolak ke Menumbuk. Kos perjalanan seperti sebelum ini, RM50. Sampai sahaja di Menumbok, lebih kurang jam 9 pagi, kami memulakan perjalanan terus ke Bandar Tawau yang dirindui.

Alhamdulillah, cuaca dan pemanduan amat baik sekali pada hari itu. Sempat juga singgah di Ladang Ternak Rusa, Keningau untuk membeli stok daging payau. Akhirnya, kami sampai ke destinasi lebih kurang jam 6 petang. Perjalanan yang panjang namun berbaloi dan amat membuka minda pengembara jalanan.

Kos duit minyak keseluruhan perjalanan lebih kurang RM200 sahaja untuk perjalanan Tawau – Kota Kinabalu – Menumbok – Labuan – Brunei – Labuan - Tawau. Total jauh perjalanan 1,450 km.




Kepada mereka yang sukakan cabaran, bolehlah cuba berjalan seperti kami. Berbaloi untuk cuba seumur hidup, sekali. Total investment perjalanan luar negara kali ini untuk kami 6 beranak ialah RM806 sahaja. Kalau nak bandingkan dengan harga tiket kapal terbang, jimat banyak gila!


Selamat mengembara!

Comments

Post a Comment

Popular Posts