NUR ISABELLE

Adik beradik kembar susu ibu - Hawa & Isabelle


BUKAN KEBETULAN
 
Ini Nur Isabelle.
 
Anak syurga, hadiah kiriman Allah ketika Hari Asyura yang lepas. Anak pinjaman yang ke-6.
Menariknya, kedua Papa Isabelle berkongsi tarikh lahir yang sama.
 
Kebetulan?
 
Saya rasa tidak. Masakan ia suatu kebetulan. Ia suratan tersirat supaya kami boleh terus berhubung sehingga akhir nanti. Supaya kami tidak lupa akan kewujudan keluarga istimewa ini. Supaya Isabelle terus berada di dalam hati.
 
Aturan Allah itu indah. Tiada sedikit pun cacat celanya. Lihatlah dengan mata hati yang terbuka. Pasti ada rahsia tersingkap di sebalik cerita.
 
- Nota Facebook, 24/10/2016 -
 
 

Beautiful Isabelle
 
Ini kisah doa tiga ibu.
Ibu yang mahukan kehidupan yang lebih baik buat anaknya.
Ibu yang teringin punya seorang anak perempuan.
Ibu yang berdoa mahu miliki anak kembar.

Ketiga-tiga ibu ini punya latar hidup yang berbeza, juga tinggal di lokasi yang berbeza. Doa-doa ini Allah satukan apabila Nur Isabella dilahirkan.
 
Mommy Isabelle & Bonda Hawa


Kisah ini merupakan bingkisan kisah benar perjalanan hidup saya. Tanggal 9 Muharram, suami yang sedang berpuasa Asyura, dalam santai pulang berehat tengahari di rumah, mengemukakan cadangan untuk saya mencari anak susuan. Saya memandang beliau dengan muka tanda tanya. Tiada angin, tiada kemarau, masakan dia tiba-tiba mencadangkan begitu. Saya terdiam. Kelu. Perbagai soalan menerjah minda. Anakanda Hawa yang baru lahir dan bakal mencecah umur 2 bulan esok pun masih terkial-kial mahu saya jaga, ini kan pula mahu tambah seorang lagi anak susu yang baru?
 
The proud Papa


Setelah beliau kembali ke pejabat, terlintas pula di hati saya untuk mesej seorang sahabat yang baru-baru ini telah mengambil anak angkat. Dalam hati, mungkin dia kenal ada orang susah yang lain, yang benar-benar memerlukan ibu susuan. Bagaimana mahu menjaga anak itu nanti, saya tolak tepi. Saja mahu mencuba nasib, bukan serius pun ketika itu. Sahabat saya itu menjawab mesej Facebook dengan pantas, katanya, saya seperti tahu-tahu sahaja dia sedang mencari ibu susu. Dia mahu bantuan luar untuk anak angkatnya, Nur Isabelle. Saya tergamam. Perasaan itu sering berlaku setiap kali Allah sedang makbulkan doa baru. Terkaku seribu bahasa apabila ia berlaku dengan sekelip mata. Ada orang sedang mengharap di hadapan mata, tak mungkin saya mahu berkata maaf, saya hanya berseloroh sebentar tadi.

Saya memuat turun gambar Nur Isabelle dari laman Facebook sahabat saya tadi dan saya kirimkan kepada suami di pejabat.


Nur Isabella - Gambar dari Facebook Mommy Isabelle

"Ini Isabelle. Anak baru awak, insyaAllah. Anak susu. Terima kasih kerana Allah gerakkan hati awak."


Dia pun terkejut. Tidak sampai satu jam selepas dia pulang ke ofis, mainan kata-katanya menjadi nyata. Saya bertanya kembali pada suami apabila dia pulang malam itu, apakah yang membuatkan dia menyatakan hasrat untuk saya mencari anak susuan tengahari tadi. Jujur, dia juga tidak tahu mengapa. Namun, dia ikhlas mengizinkan. Sesungguhnya, hati-hati ini milik Illahi, dia juga yang menggerak dan menyatukan kami dengan Nur Isabelle. Apatah lagi ia di hari mulia. Hari Asyura di mana Allah banyak makbulkan doa-doa Nabi yang disayangi, apatah lagi doa kami yang kecil ini. Alhamdulillah, sujud syukur kami kepada Allah yang Maha Esa.

Bersama Isabelle

Esok, genap Hawa Humaira 2 bulan, saya sudah mula membekalkan susu kepada Nur Isabelle. MasyaAllah, Tabarakallah, Hawa kini punya adik kembar susu yang baru. Teringat pada doa yang saya mohon di depan Ka’abah yang suci tahun lalu, “Ya Allah, jika aku dikurniakan anak kembar lelaki dan perempuan, akan saya letak nama Adam dan Hawa.”
 
Jauh di sudut hati, saya teringin mahu punya anak kembar. Seronok melihat sepasang anak membesar bersama. Namun, mungkin Allah lebih tahu had kemampuan diri. Ternyata, saya tidak layak untuk kerja itu. Juga, Allah yang Maha Mengasihani tidak pernah mahu menghampakan hamba-Nya yang meminta. Dihadiahkan Nur Isabelle dengan cara yang tidak disangka-sangka. Rasa sayang kepada anak itu datang secara tiba-tiba. Seluruh keluarga gembira menyambut berita kehadiran Isabelle. Anak-anak tahu mereka sudah ada adik ke-6. Walaupun Isabelle dibesarkan di rumah yang berbeza,  walaupun saya hanya dapat menyusukan buat seketika, InsyaAllah, talian ukhwah dan nasab yang telah tersambung ini tidak akan putus sampai bila-bila. Syukur, alhamdulillah.



Kehadiran Isabelle dalam kehidupan kami ternyata bukan kebetulan. Bekas-bekas perahan susu untuk Isabelle sudah dibeli seawal dua tahun yang lepas, tersimpan rapi hanya menunggu kehadiran beliau. Pada awalnya ia dibeli untuk saya perah susu ketika membuat umrah di Tanah Suci, jika terpaksa. Rahimi, anak ke 4 yang ketika itu, baru berusia 6 bulan dan menyusu penuh, saya tinggalkan di tanah air. Kerisauan berlaku jika saya mengalami bengkak susu sepanjang perjalanan di Mekah dan Madinah nanti. Dengan kuasa Allah, satu titik susu pun tidak tumpah di Tanah Harmain ketika itu dan dengan kuasanya juga, saya dapat sambung menyusu Rahimi sekembali ke Malaysia sehingga umurnya dua tahun. Alhamdulillah. Maka, beg susu itu memang hak Nur Isabelle sejak pertama kali ianya dibeli lagi.

Suami saya juga, tahun ini, asyik tertangguh-tangguh untuk dipindahkan ke lokasi bekerja yang baru. Dari awal tahun sehingga hari ini, kami masih belum menerima surat pindah lagi. Pelik, ada sahaja halangan atau pertukaran rancangan syarikat yang berubah-ubah. Rupanya, hari ini kami tahu, masih ada hak kepada anak ini yang perlu kami lunaskan dahulu. Nur Isabelle memerlukan kami disini. Susu ini hak dia. Ia hanya disalurkan melalui saya. Gerun melihat aturan Allah yang indah ini. Benar bagai yang dikata, anak itu punya rezekinya yang tersendiri. Tidak akan kurang, malah lebih jika rajin membanting tulang di kemudian hari. Janji Allah itu pasti.

Nikmat mana yang mampu kami dustakan hari ini?

Gambar kenangan dua keluarga

Comments

Popular Posts