TECK GUAN COCOA VILLAGE TAWAU


 
 
Dari atas awan biru, Tawau, salah sebuah bandar kecil yang terletak di selatan Sabah, kelihatan hijau, subur dengan hasil tanaman yang pelbagai. Sesuai dengan nama yang diberi, Tawau, Bumi Peladang. Baik sayur-sayuran atau buah-buahan, semua hidup mekar di tanah bertuah ini. Termasuk, pokok koko. Walaupun, pulau-pulau Sempoerna menjadi sasaran utama pelancong apabila tiba di Tawau, namun masih ada yang bijak untuk mengambil peluang meneroka keindahan alam di Perkampungan Koko Teck Guan, sebelum mereka terbang pulang.

 


Perkampuang Koko Teck Guan, terletak kurang 30 minit perjalanan daripada Lapangan Terbang Tawau Ia merupakan lokasi percutian yang kurang terkenal di kalangan rakyat Malaysia, namun sering menerima kunjungan daripada pelancong luar negara. Didirikan di atas tanah persendirian milik Syarikat Teck Guan, kunjungan hanya boleh dibuat melalui tempahan awal sahaja. Ia merupakan sebuah perkampungan atau hutan simpan yang dijaga rapi dengan tanaman pokok koko dan kelapa sawit menghijau sepanjang perjalanan. Kepada mereka yang tidak pernah melihat pokok koko, ini adalah peluang yang tidak patut anda lepaskan.

 


Pakej pelancongan lawatan sambil belajar yang ditawarkan di Perkampungan Koko ini, terbuka kepada orang dewasa mahupun kanak-kanak. Harga yang ditetapkan cukup berbaloi dengan ilmu yang bakal ditimba, iaitu hanya RM63.60 untuk dewasa dan RM42.40 untuk kanak-kanak. Mereka menerima kunjungan, dari seramai 4 orang pengunjung sehingga ke rombongan besar yang berjumlah 100 orang. Sediakan seluar tracking anda kerana lawatan ini termasuk aktiviti jungle tracking di Cocoa Culture Spring. Aktiviti ini akan membawa anda mendekati alam semulajadi ciptaan Illahi yang tersembunyi di Tawau. Terdapat 6 air terjun yang bakal mempersonakan anda sepanjang perjalanan itu nanti. Antaranya, Trinity Waterfall, Glamour Waterfall, Victorian Cascade Waterfall, Vitreous Waterfall, Real Waterfall dan akhir sekali The Majesty Waterfall.

 

Kolumnar Basalt
 

Kemuncak perjalanan ini akan membawa anda melihat bongkah-bongkah batu hasil peninggalan lava gunung berapi. Ia digelar Kolumnar basalt. Kolumnar basalt adalah formasi batu-batu yang terhasil daripada kesan panas sejuk yang cepat ketika aliran lava berlaku. Ini adalah antara lokasi emas untuk melihat kolumnar basalt yang jarang-jarang berlaku di dunia. Ternyata, ramai yang tidak mengetahui kolumnar basalt ini ada di negara mereka sendiri.

 

 
Pokok Koko

Usai menghirup udara segar hutan hujan dan bermandi-manda di air terjun yang sejuk, perjalanan lawatan diteruskan dengan pembelajaran tentang dunia koko. Pengunjung akan di bawa ke tempat pemprosesan koko. Beberapa mesin lama untuk mengering dan membakar koko akan diperkenalkan dan anda boleh mencuba sendiri biji koko yang telah dibakar. Baunya, coklat. Rasanya, aduhai, cukup pahit!

 

Di sebelah tempat pemprosesan koko tersebut, terdapat beberapa baris pokok koko yang tumbuh segar dan lebat buahnya. Buah-buah koko yang ada seperti melambai-lambai kepada pengunjung yang hadir. Demonstrasi memotong buah akan dilakukan dan anda boleh cuba merasa isi koko yang putih bersih. Penerangan terperinci tentang perihal pokok koko akan dilakukan oleh pemandu pelancong yang bertugas. Terdapat juga banyak jenis tumbuhan lain yang di tanam di sekitar ladang koko tersebut seperti pokok abiu, pokok avocado, buah nanas dan lain-lain lagi.

 
Buffet Hotel di Hutan

 


Pernah merasa hidangan mewah di dalam hutan? Jika tidak pernah, anda patut datang Perkampungan Koko Teck Guan ini. Setelah melawat ladang koko, anda akan di bawa ke Rumah Koko untuk beristirehat dan makan tengahari. Bekalan makanan dibawakan khas daripada salah satu cabang syarikat perniagaan Teck Guan, Hotel Emas di bandar Tawau. Ia dimasak oleh tukang masak terlatih dan sebahagian masakan yang dihidangkan adalah berasaskan koko. Menarik bukan? Makanan ala-ala set buffet hotel itu cukup mewah. Hidangan buah-buahan sahaja sudah melebihi dari 10 jenis. Air kelapa, setiap orang akan mendapat satu. nasi, lauk pauk, mee coklat goreng, tidak termasuk pemanis mulut, popia dan pudding coklat akan dihidangkan satu per satu sehingga anda kekenyangan. Semua buah-buahan yang dihidangkan dipetik terus hasil tanaman di Perkampungan Koko itu sendiri. Ia suatu pakej pelancongan yang amat memuaskan, terutama apabila sampai bab makan.

 



Di sekitar rumah koko itu terdapat laman luas untuk anda bersiar-siar. Terdapat juga pelbagai jenis pokok untuk anda dekati serta pelajari. Ada dua rumah pokok yang dibina untuk anda naik dan melihat dari sudut sisi yang lebih tinggi. Ada beberapa hammock disediakan untuk pengunjung berehat di bawah rumah pokok tersebut. Kepada pencinta alam sekitar, lokasi ini menarik jika anda mahu melakukan aktiviti bird watching atau melihat matahari terbit. Selain itu, lokasi ini juga sering menjadi tumpuan pengantin baru untuk mengambil gambar perkahwinan kenang-kenangan mereka. Perkampungan Koko Teck Guan ini ternyata sebuah khazanah yang perlu dikongsi dan dikunjungi bersama. Pastikan Tawau berada di dalam jadual percutian terdekat anda yang akan datang. Selamat bercuti!
 

 

Comments

Popular Posts