Kundasang, Ranau, Sabah

 



Sepanjang tinggal di Sabah, saya berpeluang untuk tidur di Kundasang sebanyak 3 kali. I can say, this is among our favourite spot in Sabah. Apa yang membuatkan ia menarik ialah Gunung Kinabalu. MasyaAllah Tabarakallah, ia sungguh mengkagumkan. Tidak pernah tidak. Ini adalah antara penulisan saya yang berjaya diterbitkan di Malajah Mingguan Wanita sekali lagi. Edisi Februari 2017.



 
Kundasang, Ranau tidak pernah mengecewakan mana-mana pelancong yang datang mengunjung. Suasana yang sejuk di sekitar Kundasang membuatkan anda terasa seperti berada di Cameron Highland, cuma lokasinya bukan di Pahang tetapi di Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Apa yang membuatkan Kundasang lebih istimewa ialah, Gunung Kinabalu yang berdiri gah di belakangnya. Gunung tertinggi di Asia Tenggara itu pasti membuatkan pelancong terpukau dengan keindahan alam semulajadi yang Sabah miliki walaupun mereka hanya berada di kaki gunung itu sahaja. Kepada mereka yang meminati aktiviti star gazing, sediakan teropong dan kamera berteknologi tinggi untuk merakam kecantikan bulan dan bintang Kundasang di malam hari. Pengalaman bercuti di Kundasang, sentiasa mengujakan dan dinanti-nanti, baik dari pengunjung luar mahupun dalam negara sendiri.

 


Desa Cattle Dairy Farm

Digelar juga New Zealand Malaysia, salah satu tarikan pelancong di Kundasang ialah Desa Cattle Dairy Farm. Lembu-lembu susu berwarna hitam putih yang dilepaskan untuk meragut rumput hijau di kawasan ladang Desa itu, menghidupkan suasana seperti bercuti di luar negara. Terdapat juga kandang anak lembu dan kambing yang dibuka untuk pelancong luar, terutamanya, kanak-kanak, untuk diberikan makanan dan minuman secara terus. Pengalaman mahal ini dapat memberi peluang untuk pelancong mengenali haiwan ternak ini dengan lebih dekat. Susu segar jenama Desa juga turut dikilangkan dan dijual di sini dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran luar. Dan, jangan lupa untuk mencuba aiskrim yogurt yang di jual di sana. Rasanya tidak dapat dibeli dimana-mana, sedap dan segar sekali. Cubalah jika tidak percaya.
 

 
 
 
 
 
 
Ladang Teh Ranau

Masih di dalam daerah Ranau, terdapat satu lagi lokasi unik yang menjadi tumpuan pelancong, iaitu Ladang Teh Ranau. Disinilah, Teh Sabah diproses secara besar-besaran. Terdapat kilang pemprosesan teh yang dibuka untuk orang ramai mempelajari dunia teh Sabah dengan lebih dekat. Selain itu, terdapat juga restoran yang menghidangkan pelbagai jenis makanan untuk dijamu oleh pelancong yang berkunjung. Antara menu menarik mereka ialah makanan yang berasaskan teh hijau.


 
Kampung Tagal Luanti






Berhampiran dengan Ladang Teh Ranau itu, usah lepaskan peluang untuk berhenti seketika di Kampung Tagal Luanti. Disini, anda boleh bermain dengan pelbagai ikan-ikan sungai yang jinak. Dikenali juga sebagai ‘Sabah Fish Massage’, ikan-ikan ini akan berebut-rebut untuk berenang di kaki anda dan memberi urutan manja. Bayaran untuk mencelup kaki dan mandi di sungai adalah berbeza. Makanan ikan juga boleh dibeli di kaunter jika mahu. Ia lokasi percutian yang mesra anak kecil. Walaupun ramai pengunjung yang datang, sistem yang telah diaturkan oleh pengusaha di Kampung Tagal Luanti ini cukup baik. Kumpulan kecil, seramai 100 orang dipecahkan dan diberi masa lebih kurang 30 minit untuk puas bermain dengan ikan-ikan kelah ini. 30 minit yang pasti akan menjadi memori indah dalam hidup anda selamanya. Terdapat juga banyak gerai untuk anda mengisi perut yang lapar sesudah penat bermandi-manda dengan ikan tadi. Lokasi percutian ini, adalah antara yang wajib anda kunjungi jika turun ke Ranau. Rugi, jika tidak pergi.

 

 
Selain lokasi-lokasi yang disebut di atas, terdapat juga beberapa tempat kunjungan menarik lain yang ada di Ranau ini. Antaranya Poring Hot Spring, Rabbit Farm, Kundasang War Memorial, Kebun Strawberry, Pekan Nabalu, Ranau Paragliding Park dan Mesilau Nature Park.



Comments

Popular Posts