KINABATANGAN RIVER CRUISE, 2017 GREEN RETREAT



Kinabatangan Cruise. Ini memang antara lokasi senarai top wishlist masa awal-awal sampai ke Sabah dahulu. Tertarik-tarik nak pergi, tetapi ada saja halangan. Alhamdulillah, walaupun ada anak kecil, kami berjaya juga sampai ke sini awal tahun 2017. Cuti Chinese New Year masa ini. Ternyata, amat berbaloi. Tempat ini sangat terpencil, tidak terkenal untuk warga Malaysia tetapi sangat diminati oleh pelancong luar Negara.


 
 
Oleh kerana kami tinggal di Sabah, kami memilih untuk memandu kenderaan sendiri ke lokasi ini. Kami memilih untuk tinggal di Borneo Natural Sukau Bilit Resort. Terdapat banyak lagi pilihan Resort mesra alam seperti ini di sepanjang Sungai Kinabatangan ini. Untuk mereka yang datang melancong, pakej pengangkutan disediakan dari Sandakan atau Kota Kinabalu. Harga, untuk local, sangat berbaloi! Kerana ia meliputi harga penginapan, makan minum serta aktiviti di Resort tersebut.
 
 
 
 
 Bilik yang kami dapat, Subhanallah, cantiknya. Tiada yang lebih sempurna untuk tidur di dalam hutan dengan bilik penuh aircond dan air panas di bilik air. Bunyi-bunyi haiwan dan alam semulajadi menyambut kami dengan gembiranya. Tenang. Tanpa telefon, tanpa gadget.
 
 
 
 
Pelancong-pelancong dari pelusuk dunia ada di sini, kecuali rakyat Negara kita sendiri. Orang resort kata, jarang-jarang orang kita turun bercuti di sini. Secara automatik, suasana dikelilingi pelancong luar Negara seperti ini membuatkan kami terlupa kami berada di dalam Negara sendiri. Dengan apa yang dipersembahkan, kami agak kagum dengan apa yang Negara Malaysia mampu tawarkan kepada dunia. Indahnya bumi kita, sangat terpelihara, sangat mempersonakan dan sangat berharga ilmu alam untuk diterokai. Ia hutan terbuka. Kami diminta untuk membuka mata dan telinga untuk sama-sama menghayati alam dan mencari haiwan tersembunyi di sepanjang perjalanan di Sungai Kinabatangan itu sendiri. Ada monyet, burung, kelawar dan macam-macam lagi. Sayang, kami turun bukan pada musim gajah keluar mencari makanan. Buaya juga boleh dijumpai jika anda bertuah di malam hari.
 
 
 
 
Dua kali rondaan, lewat senja dan subuh pagi. Ia masa sesuai tatkala haiwan liar keluar mencari makanan mengalas perut lapar. Ia memberi peluang untuk kami melihat matahari terbenam dan terbit di dua ufuk berbeza. Subhanallah, segala puji kepada yang Maha Esa. Ia cantik sekali. Diselangi kabus pagi, dengan latar belakang hijau serta bau sungai yang segar. Allah, andai diberi peluang, saya ingin ke sini sekali lagi!
 
 
 
 
Kami datang tanpa kenalan, kami pulang dengan kasih sayang persahabatan. Ia kenangan mahal yang pasti tidak kami sekeluarga lupakan. Sungai Kinabatangan, hari ini bukan sekadar di dalam buku teks sekolah untuk dipelajari tetapi ia ada di dalam hati kami.
 
 
 

Comments

Popular Posts